HARI SUKAN NEGARA 2025


Pada 11 Oktober 2025, Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway telah mengadakan Sambutan Hari Sukan Negara 2025 yang melibatkan penyertaan murid-murid, guru-guru serta ibu bapa. Program ini dianjurkan bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak sekolah dan komuniti setempat.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar SK Bandar Sunway yang menekankan kepentingan aktiviti sukan dan riadah dalam membentuk murid yang sihat dari segi fizikal dan mental. Beliau turut menyeru warga sekolah agar menjadikan aktiviti bersukan sebagai amalan berterusan dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian utama program ialah Fun Run yang disertai dengan penuh semangat oleh murid-murid bersama ibu bapa. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan secara inklusif, malah berjaya mewujudkan suasana ceria dan harmoni dalam kalangan warga sekolah. Sambutan yang amat menggalakkan jelas menunjukkan sokongan padu ibu bapa terhadap program anjuran sekolah.
Penganjuran Sambutan Hari Sukan Negara 2025 ini diharapkan dapat menyemai kesedaran tentang kepentingan kesihatan dan kecergasan fizikal di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara sekolah dan komuniti. Program ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
