Majlis Watikah Perlantikan Kepimpinan Murid SK Bandar Sunway

2/9/20261 min read

Pada hari Isnin, 9/2/2026, Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway telah menganjurkan Majlis Watikah Perlantikan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), Student Voice Group (SVG), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Flying Squad yang berlangsung di Dataran Perhimpunan, SK Bandar Sunway. Majlis ini diadakan sebagai tanda pengiktirafan dan amanah kepada murid-murid terpilih yang akan memainkan peranan penting dalam membantu pengurusan dan disiplin sekolah.

Majlis dimulakan dengan perhimpunan rasmi yang dihadiri oleh barisan pentadbir, guru-guru serta murid-murid SK Bandar Sunway. Suasana majlis berlangsung dengan tertib dan penuh bermakna apabila murid-murid yang dilantik menerima watikah perlantikan sebagai simbol kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak sekolah. Pelantikan ini diharapkan dapat membentuk sahsiah murid yang berdisiplin, berwibawa serta mampu menjadi contoh teladan kepada rakan sebaya.

Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Puan Ros Atikah, Penolong Kanan Pentadbiran SK Bandar Sunway. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa perlantikan ini bukan sekadar satu penghargaan, malah merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh dedikasi dan komitmen. Beliau turut menyeru agar semua murid yang dilantik menjalankan tugas dengan jujur, bertanggungjawab serta sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan kondusif.

Majlis watikah perlantikan ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepimpinan dalam diri murid-murid serta melahirkan barisan kepimpinan yang berkesan dan berintegriti. Pihak sekolah turut menaruh harapan agar semua murid yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya demi kecemerlangan diri, sekolah dan pembentukan sahsiah murid secara holistik.