MINGGU PUSAT SUMBER SKBS

9/8/20251 min read

8 September 2025 – Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway telah menganjurkan Minggu Pusat Sumber SKBS 2025 bertempat di Dataran Perhimpunan. Program ini dianjurkan dengan jayanya di bawah penyelarasan Puan Julaila binti Mohd Resdi, selaku Penyelaras Pusat Sumber Sekolah.

Program ini melibatkan penyertaan aktif barisan pentadbir, guru-guru serta semua murid SK Bandar Sunway. Pelbagai aktiviti menarik dan berinformasi telah dijalankan sepanjang program ini bagi menyemai budaya membaca, meningkatkan minat terhadap ilmu pengetahuan serta memanfaatkan kemudahan Pusat Sumber Sekolah secara optimum.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar SK Bandar Sunway yang menekankan kepentingan Pusat Sumber sebagai nadi ilmu dan pusat pembelajaran kendiri dalam melahirkan murid yang berpengetahuan luas, kreatif dan berfikiran kritis. Beliau turut menggalakkan murid-murid agar menjadikan amalan membaca sebagai budaya dalam kehidupan seharian, selaras dengan aspirasi pendidikan abad ke-21.

Sepanjang Minggu Pusat Sumber ini, murid-murid berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat seperti aktiviti galakan membaca, pameran bahan bacaan, kuiz, pertandingan serta aktiviti interaktif yang dapat merangsang minat murid terhadap pembelajaran. Sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid jelas menunjukkan keberkesanan penganjuran program ini.

Penganjuran Minggu Pusat Sumber SKBS ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta meningkatkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah sebagai medium utama pencarian ilmu. Program ini juga selaras dengan usaha sekolah untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.