PROGRAM KESEDARAN BULI DALAM KALANGAN KANAK-KANAK PERINGKAT SK BANDAR SUNWAY


Pada 5 November 2025, Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway telah menganjurkan Program Kesedaran Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling (BnK) di bawah penyelarasan Cikgu Faizul. Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran murid terhadap isu buli serta membentuk persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan sejahtera.
Program ini telah melibatkan penyertaan murid-murid dan guru-guru, serta diserikan dengan kehadiran pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijemput khas untuk menyampaikan ceramah dan perkongsian berkaitan isu buli. Taklimat yang disampaikan memberi pendedahan kepada murid tentang maksud buli, jenis-jenis perlakuan buli, kesan terhadap mangsa serta implikasi undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pelaku.
Selain itu, murid-murid turut diberi panduan tentang langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang perlu diambil sekiranya mereka menjadi mangsa atau saksi kepada perbuatan buli. Penyampaian yang jelas dan interaktif telah berjaya menarik perhatian murid serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepentingan sikap saling menghormati dan empati sesama rakan.
Penganjuran program ini selaras dengan usaha berterusan pihak sekolah dalam membanteras gejala buli dan memupuk nilai murni dalam kalangan murid. Diharapkan agar ilmu dan kesedaran yang diperoleh melalui program ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian, seterusnya mewujudkan suasana sekolah yang kondusif dan positif untuk semua warga SK Bandar Sunway.
